Lompat parti perbuatan tidak bermoral, hakis semangat demokrasi
15-05-2008 09:41:29 PM
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) tidak boleh mudah terpedaya dan ghairah dengan tawaran besar oleh parti pembangkang yang sedang beria-ia ingin membentuk kerajaan baru.
Katanya perbuatan lompat parti adalah sesuatu yang tidak bermoral dan ternyata melanggar peraturan serta undang-undang.
"Buat masa ini, ada keghairahan untuk mengambil kuasa bukan melalui peti undi, tapi nak ambil kuasa (dengan) jalan mudah," katanya di lobi Parlimen di sini hari ini.
Syed Hamid mengulas laporan akhbar semalam mengenai pembangkang yang terdesak untuk menjatuhkan kerajaan BN, sanggup menawarkan ganjaran besar sehingga boleh memberi kesenangan hidup kepada dua tiga generasi keluarga anggota Parlimen yang berpaling tadah.
Perkara itu didedahkan Anggota Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan manakala Anggota Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman dan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) turut mengaku dipujuk supaya melompat ke parti pembangkang
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Kiat berkata jika rasuah politik dibenarkan berlarutan ia bukan sahaja memalukan malahan juga bermakna ketaatan kepada parti dan misi perjuangan seseorang anggota politik boleh dijual beli.
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang juga anggota Parlimen Rembau, berkata pemberian sogokan untuk lompat parti sesuatu yang serius dan mungkin ada kebenarannya apabila ramai yang memperkatakan mengenai perkara ini.
"Pemberian rasuah ibarat memberi 'gula-gula politik' untuk mereka melompat parti dan ia akan menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat sekaligus akan menghakis semangat demokrasi di negara ini," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali mendakwa lebih daripada 30 anggota Parlimen telah menyuarakan taat setia mereka.
"Kita juga akan umumkan senarai nama anggota Parlimen yang sudah bersetuju untuk masuk parti pembangkang dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Bagaimanapun beliau enggan menyatakan senarai Anggota Parlimen yang menyertai parti pembangkang itu datang dari Sabah atau sebaliknya.
"Kita tidak 'approach' mereka tetapi mereka yang datang jumpa kita," katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua meminta kerajaan membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai wang yang banyak sehingga mampu membuat tawaran jutaan ringgit kepada anggota Parlimen untuk menyertai Pakatan Rakyat.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula enggan mengulas: "Itu kamu kena tanya PKR sendiri," katanya. BERNAMA
p/s: Azmin cakap "Kita tidak 'approach' mereka tetapi mereka yang datang jumpa kita,". Aku dah cakap dah.., mana ada PKR main duit-duit ni, tetapi daripada hati yang tulus, suci dan mengharap keredhaan Allah semata-mata!!??
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment