Monday, June 23, 2008

Dato' Isa kembali!

Penggantungan keahlian UMNO Isa Samad berakhir hari ini
23/06/2008 1:17pm

Oleh Ramli Abdul Karim

KUALA LUMPUR 23 Jun – Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad hari ini secara rasmi tamat tempoh penggantungan keahliannya dalam parti itu.

Surat memaklumkan berakhirnya tempoh itu yang berkuat kuasa 23 Jun 2008 dihantar kepadanya oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Jumaat lalu.

Mohd. Isa yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun ketika dihubungi Utusan Malaysia untuk mengetahui reaksinya berkata:

“Saya tersenyum, saya tersenyum... itulah reaksi saya apabila dapat surat itu.

“Dari dulu saya tidak pernah dipecat (keahlian UMNO), saya cuma digantung dan hilang hak sebagai ahli.

“Jadi mulai sekarang, saya kembali mendapat hak saya sebagai ahli yang selama ini digantung iaitu hak memilih (mengundi) dan dipilih (bertanding) serta hak dilantik dan melantik.”

Ditanya sama ada beliau bercadang bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti Disember ini dan juga di peringkat bahagian antara Oktober dan November ini, Mohd. Isa yang memegang keahlian nombor 22 dalam UMNO memberitahu:

“Saya sedang fikir dengan serius jawatan apa yang saya hendak bertanding, nanti saya beritahu kalau saya sudah buat keputusan.

“Buat masa ini dan dalam tempoh tiga tahun penggantungan itu, saya terus bekerja untuk parti.

“Selama ini pun saya masih ahli UMNO, jadi orang jemput saya berucap di mana-mana, dalam pilihan raya umum lalu atau dalam pilihan raya kecil sebelum ini.”

Mohd. Isa memberitahu, hari ini beliau menerima begitu banyak panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada rakan-rakan dalam parti yang mengucapkan tahniah atas berakhirnya penggantungan hukumannya itu.

“Saya ucap terima kasih kepada semua yang telefon dan SMS beri semangat kepada saya... ramai yang mengucapkan selamat kembali kepada saya walaupun sebenarnya saya tidak pernah keluar UMNO,” ujarnya.

Mohd. Isa bertanding dan memenangi jawatan Naib Presiden UMNO bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi yang merupakan undi tertinggi.

Pada 2005, beliau dilucutkan jawatan Naib Presiden UMNO dan digantung keahliannya dalam UMNO selama dua penggal iaitu enam tahun bermula 24 Jun tahun berkenaan kerana didapati bersalah terlibat dalam politik wang oleh Lembaga Disiplin parti.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam keputusan rayuan kemudiannya mengekalkan hukuman penggantungan keahlian Mohd. Isa, tetapi mengurangkan hukuman kepada tiga tahun iaitu sehingga hari ini. - Utusan

p/s: Aura Tok Isa masih ada..

2 comments:

Anonymous said...

Tan Sri Isa adalah jawapan kepada pemulihan UMNO.

Anonymous said...

Hmmmm... agreed 110% with ram.

-M6-