Thursday, June 26, 2008

Teck Lee terima kasih kepada Najib

Sumber: Utusan Malaysia 26.6.2008

KOTA KINABALU 25 Jun - Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee gembira dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan akan melancar operasi besar-besaran menangkap dan mengusir pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Menurut Teck Lee, SAPP mengalu-alukan kenyataan tersebut kerana tindakan mengatasi isu PATI memerlukan satu tindakan bersungguh-sungguh dan berkesan memandangkan masalah itu telah dibangkitkan sejak sekian lama.

''Keselamatan dan kedaulatan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menanganinya. Rakyat tidak boleh dibiar menunggu begitu sahaja dengan pelbagai masalah seperti jenayah, dadah, kanak-kanak jalanan, penjualan rokok seludup dan sebagainya yang berpunca daripada pendatang.

''Apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar bercakap mengenai keengganan kerajaan Filipina menerima balik rakyat mereka, bermakna satu operasi besar-besaran perlu dilakukan dan tidak sekadar membina pusat tahanan sementara," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Teck Lee yang mengumumkan pendirian SAPP hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Rabu lalu memberitahu, pada 2006, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad ada mengumumkan akan membina 15 pusat tahanan sementara di Sabah bagi menangani masalah PATI tetapi sehingga hari ini tidak ada perkembangan yang berlaku.

Malah katanya, SAPP telah mengemukakan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan 14 cadangan untuk mengatasi masalah pendatang dua tahun lalu termasuk memorandum mengenai 'PATI-Ibu Segala Ancaman' kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Timbalan Perdana Menteri ketika itu) pada Ogos 1999.

''Bagi memastikan usaha itu benar-benar berkesan, kerajaan tidak boleh lagi menangguhkan lagi tindakan termasuk menangkap agen membawa masuk pendatang dan sindiket yang terlibat.

''Penglibatan bersepadu juga perlu dengan bantuan tentera, pasukan Rela, polis serta kelengkapan mencukupi termasuk pengangkutan, bot tentera, unit udara dan sebagainya," ujar beliau.

Beliau turut menarik perhatian mengenai persoalan mengapa Konsul Malaysia tidak boleh dipindahkan dari Davao ke Zamboanga bagi memudahkan urusan penghantaran pulang rakyat Filipina ke negara mereka.

Katanya, Malaysia dalam isu tersebut perlu memainkan peranan dalam gagasan ASEAN dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi menggesa Filipina bekerjasama menyelesaikan masalah kerakyatan pendatang asing di Sabah.

''Langkah yang selanjutnya ialah meminta Filipina membuka Pejabat Konsul di Sabah dan dengan itu, kerajaan boleh mengawal dengan lebih ketat pengangkutan feri yang keluar masuk antara Zamboanga dan Sandakan," katanya.

Tambah beliau, perkembangan ekonomi negeri Sabah yang pesat menjadi antara tarikan kepada kemasukan PATI ke negeri ini dan pada masa yang sama, negara-negara jiran berhadapan dengan kekangan untuk mendapat peluang pekerjaan.

''SAPP berterima kasih terhadap Timbalan Perdana Menteri kerana mengumumkan suatu tindakan yang menyakinkan, menyeluruh, bersifat jangka panjang dan berkesan untuk menangani 'ibu' segala ancaman yang selama ini membimbangkan rakyat," katanya.

p/s: Apa sebenarnya pandangan SAPP pada Najib? Kalau dilihat usul yang ingin kemukakan adalah semata-mata tidak percaya pada Pak Lah sahaja..

No comments: