Wednesday, May 28, 2008

Pemimpin Pembangkang Minta Maaf pada SPR

Sumber : Siasah


KUALA LUMPUR, 26 Mei: "Sayalah orangnya," kata anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bagi menjawab persoalan siapakah pemimpin pembangkang yang pergi meminta maaf kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman selepas pilihan raya umum lalu.

Menurut Wan Rahim, beliau bersendirian bertemu Rashid di pejabatnya di Putrajaya pada 13 Mac iaitu lima hari selepas pilihan raya umum ke 12 lalu.

"Saya memang minta maaf kepada dia bagi pihak kawan-kawan yang keterlaluan membuat kenyataan terhadap dia," kata Wan Abdul Rahim yang juga Timbalan Pengarah II Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat kepada Siasah.

Dalam pertemuan itu, beliau juga meminta Rashid yang akan tamat tempoh perkhidmatannya hujung tahun ini untuk meninggalkan legasinya tersendiri dalam SPR dengan membantu meningkatkan kualiti SPR.

Wan Rahim mengulas kenyataan Rashid yang sebelum ini mendakwa pemimpin parti pembangkang datang bertemu beliau meminta maaf dengan tindak tanduk mereka menjelang pilihan raya lalu.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali menafikan PAS ada pergi memohon maaf kepada Rashid tanpa mengetahui tindakan Wan Abdul Rahim itu.

"Kami tidak boleh menerima tindakan-tindakan yang dibuat oleh SPR menjelang pilihan raya lalu, jadi tidak berbangkit kami pergi meminta maaf," kata Mustafa.

Antara yang tidak boleh diterima PAS adalah pemansuhan di saat akhir penggunaan dakwat kekal dan juga peraturan mati setem kepada borang penamaan calon yang tidak dikuatkuasakan semasa hari mengundi, kata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Beliau yakin, tanpa peraturan dan pembatalan peraturan yang dibuat sendiri oleh SPR ini, PAS akan menang dengan lebih banyak kerusi lagi khasnya di Terengganu.

"Misalnya persoalan pengundian berganda ini, ia sememangnya berlaku di Terengganu dan jika peraturan dakwat kekal ini berjalan ia boleh menghalangnya dari berlaku," kata Mustafa.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Yahya Ali memberitahu Siasah, antara penemuan awal post mortem yang dibuat oleh PAS Terengganu adalah laporan dari Dungun yang mengatakan adanya unsur-unsur pengundian berganda melalui penggunaan kad pengenalan palsu.

"Setakat ini Jawatankuasa Post Mortem yang kita tubuhkan telah pergi ke Besut, Kuala Nerus dan Dungun. Antara laporannya tentang pengundian berganda ini," kata Yahya.
Posted by Siasah at 6:42 PM

p/s: Kalau pakatan rakyat kalah ituhari, memang lunyai Pak Rashid kena..Nasib la ada pemimpin pakatan rakyat yang datang minta maaf. Jadi, kempen BERSIH tu betul ke tidak??

No comments: